Jenayah membawa padah! Itu lah ungkapan yang sering kita dengar bila berbicara soal
jenayah yang berlaku di negara kita. Biar pun pelbagai kempen sudah pun dilakukan namun ia dilihat sia-sia, seperti menuang air ke daun keladi.

Lihat sahaja perkembangan semasa, cerita berkaitan jenayah ini sering sahaja berlaku
dalam masyarakat kita. Masalah sosial sebegini dilihat menjadi rutin bagi mereka yang
mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang.

KERANA TENDANGAN TANPA BAYANG, SHAZRIN TERIMA ANUGERAH

Terdahulu tular di media sosial kejadian ragut berlaku di sekitar Taman Mount Austin,
Johor Baharu. Mangsa dikatakan sangat bertuah kerana semasa kejadian tampil seorang
“hero” iaitu penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) iaitu Shazrin Hafeez
menyelamatkan keadaan dengan memberi tendangan tanpa bayang pada suspek.

Sekali gus, suspek ragut berjaya diberkas. Memberi penghargaan di atas keberanian yang
ditunjukkan, dilaporkan Shazrin telah menerima penghargaan berbentuk sijil penghargaan,
wang tunai berjumlah RM1,000 dan juga tawaran jawatan tetap Pembantu Kesihatan Awam U19 di MBJB.

Perkara baik tersebut dikongsikan oleh laman Facebook Johor Times pada beberapa jam yang lalu.

DISAMPAIKAN SENDIRI OLEH MENTERI BESAR JOHOR

Lebih bermakna apabila sijil penghargaan tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Besar
Johor Baharu iaitu Datuk Hasni Mohammad semalam.

Dengan penghargaan ini sekurang-kurangnya memberi semangat kepada ahli penguat kuasa yang lain dalam menabur khidmat kepada orang awam, bukan sahaja berkaitan kerja hakiki malah melibatkan isu keselamatan.

RAMAI MENGUCAPKAN TAHNIAH, SEMOGA JADI CONTOH BAIK

Melihat kepada reaksi warganet, ramai yang mengucapkan tahniah kepada Shazrin dan berharap agar dengan kredibiliti yang dipamerkan mampu menjadi contoh baik pada orang awam lain.

Kesimpulannya, bila berbuat baik sudah pasti akan dibalas baik. Jangan sesekali berasa takut untuk berbakti kepada mereka yang berada dalam kesulitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here