Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Kejadian jenayah seperti ragut sering membelengu kaum hawa. Saban hari ada sahaja kes yang melibatkan kejadian ragut yang kadang kalanya mendatangkan trauma kepada orang ramai.
Sejak tengah hari semalam, tular satu video dimana seorang penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), iaitu Shazrin Hafeez apabila bertindak berani menyelamatkan seorang wanita dari kejadian ragut.
Menurut laporan, sewaktu mangsa wanita diragut, Shazrin sedang menjalankan tugasnya untuk memeriksa petak tempat letak kereta berkupon, berdekatan dengan lokasi kejadian. Sejurus mendengar jeritan mangsa, dia bergegas berlari untuk memberi bantuan.
Tanpa segan silu, dia berlari ke arah suspek sambil diiringi tendangan tanpa bayang sekali gus mengagalkan cubaan meloloskan diri. Tindakan berani Shazrin mendapat pujian ramai berikutan tak semua dari kita sanggup untuk membahayakan diri sendiri demi orang lain.
Melihat kepada tinjauan di laman Facebook, ramai warganet menyifatkan pemuda berusia 26 tahun tersebut sebagai hero kerana berada di tempat kejadian pada masa yang tepat.
Dalam pada masa yang sama, biar pun fizikal Shazrin yang kecil namun keberanian yang ditunjukkan melampaui segalanya.
Oleh kerana keberaniannya menjadi buah mulut netizen, secara tidak langsung ramai mula ingin tahu kehidupan peribadi pemuda berkenaan. Siapa sangka, selain memakai pakaian uniform pada waktu siang, difahamkan Shazrin turut mengusahakan perniagaan burger di kala malam.
Difahamkan perniagaan burgernya itu terletak di sekitar Taman Johor Jaya, Johor Bahru. Dek keberanian yang dipamerkan, rata-rata warganet memohon agar penduduk sekitar membantu pula penguatkuasa berkenaan dengan membeli burger yang dijual.
Kesimpulannya, untuk menjadi seorang hero tidak memerlukan kostum superhero seperti ironman ataupun spiderman. Cukup lah peka dengan masalah orang lain dan ringan tulang dalam memberi bantuan kecemasan di saat memerlukan.
Semoga kisah tendangan tanpa bayang abang penguatkuasa ini menjadi iktibar buat peragut lain agar fikir banyak kali sebelum melakukan “kerja”.