Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Remaja masa kini mungkin tidak kenal atau tahu dengan kewujudan kumpulan muzik A to Z. Kumpulan ini antara yang digemari bagi pencinta muzik tanah air pada pertengahan 90-an dahulu.
Antara lagu kegemaran yang masih diingati penulis adalah seperti Comel, Iyo Ko dan juga Itik Gembo-Gembo. Tidak bertahan lama akhirnya kumpulan A to Z ini terkubur pada tahun 2000 apabila anggota kumpulan bersetuju untuk membawa haluan masing-masing.
Bila sebut nama kumpulan ini, yang menjadi perhatian adalah vokalis utamanya iaitu Lan atau nama sebenarnya Norazlan Abdul Aziz. Sebelum ini Lan giat mengusahakan perniagaan menyewa peralatan sistem audio untuk majlis-majlis keraian dan aktiviti sosial.
Namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu telah memberi kesan kepada ahli kumpulan A to Z ini. Akuinya pedapatan mula terjejas teruk dan langsung tiada permintaan gara-gara semuanya terpaksa memberhentikan operasi.
Dalam mencari idea untuk meneruskan kehidupan, akhirnya Lan membuat keputusan untuk berniaga lemang buluh seperti yang pernah dia lakukan pada tahun terdahulu. Tidak sia-sia apabila perniagaan yang diusahakan mendapat permintaan yang sangat tinggi.
Difahamkan sepanjang Hari Raya Aidil Fitri lalu, Lan berjaya membuat jualan hampir 8,000 batang lemang buluh. Menurut Lan, sebenarnya berniaga lemang antara perkara yang mencabar.
Dia telah bekerjasama dengan masyarakat orang Asli untuk mendapatkan bekalan buluh dan membelinya sekitar harga RM1.50 sehingga RM2.00 untuk sebatang. Dalam pada itu, Lan juga giat berniaga kuih raya tradisional menerusi platform Facebook.
Berkongsi pengalaman, penyanyi ini memaklumkan bahawa PKP memberikan hikmah besar kepada masyarakat dan dirinya sendiri. Mungkin sebelum ini orang ramai tidak nampak kepentingan berniaga dalam skala kecil.
Namun pada hari ini lebih ramai yang melihat peluang ini dan mula menghargainya. Mengulas soal rezeki, Lan lebih selesa untuk berusaha dengan cara sendiri berbanding dari meminta-minta.
Selagi kudrat terdaya, dia akan berusaha untuk mencari sendiri dengan tulang empat kerat untuk menyara isteri dan dua lagi anaknya.
Semoga kisah Lan A to Z ini membuka mata orang ramai tentang kepentingan perniagaan ketika berdepan kesulitan.