Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pihak kerajaan bermula 18 Mac tempoh hari memberi kesan yang sangat mendalam terhadap rakyat Malaysia. Bukan sahaja perlu membiasakan diri dengan norma baharu, malah paling terkesan dari segi ekonomi.

Mungkin yang bergaji tetap berasa sangat bahagia pada tempoh tersebut. Tapi tidak bagi sebilangan individu yang tidak bernasib baik. Bukan sahaja hilang pendapatan, malah ada juga yang langsung hilang pekerjaan.

JURULATIH KECERGASAN KERJA DI PASAR BORONG

Jadi, pada tempoh ini rakyat dinasihatkan agar tidak memilih kerja. Rebut sahaja peluang yang ada di depan mata. Perkara yang terbaik telah dilakukan oleh Chin Jie Xun, yang merupakan seorang jurulatih kecergasan sebelum PKP bermula.

Lelaki yang berusia 34 tahun ini telah bersetuju menerima tawaran dari rakannya untuk bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur yang bermula sejak sebulan yang lalu. Jelas Chin, dia mula hilang pendapatan sejak PKP.

Lalu dia mengambil jalan untuk bekerja di pasar borong berkenaan selama 6 jam sehari, sekali gus memperoleh pendapatan sekitar RM80 sehingga RM100. Tambahnya, buat masa sekarang masyarakat tidak boleh putus asa.

LEBIH BAIK KERJA DARI TIDUR DI RUMAH

Kita perlu berjuang terutama dalam situasi ekonomi yang kian meruncing. Justeru, selagi ada kerja yang boleh dibuat, terima lah dengan hati terbuka. Ianya jauh memberi manfaat daripada duduk dan tidur sahaja di rumah.

Dalam pada itu, Chin memberitahu pekerjaan di pasar borong sedikit mencabar berikutan ia memerlukan kekuatan dan juga tenaga berterusan. Di samping jana pendapatan, kerja ini dapat menyihatkan tubuh badan.

Perkara yang sering membelengu rakyat di Negara kita adalah terlalu memilih kerja. Tidak dinafikan peratus menunjukkan ramai anak muda lebih memilih untuk bekerja di tempat yang selesa yakni berhawa dingin berbanding kerja seumpama ini.

RAKYAT MALAYSIA TERLALU MEMILIH, WARGA ASING MENGISI KEKOSONGAN

Secara tidak langsung ia telah mengundang ramai warga asing untuk mula mengisi kekosongan di pasar borong yang ditinggalkan warga tempatan. Tepuk dada dan tanya selera.

Sikap ini juga lah menjadikan ramai warga asing berpusu-pusu untuk berada di Negara kita sehingga pelbagai masalah sosial lain yang timbul. Apa pun tahniah buat Chin kerana tampil menjadi contoh baik buat orang ramai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here