Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Malang tidak berbau! Siapa sangka dalam keterujaan kita membuat persiapan menyambut Syawal, ada keluarga yang sedang berdepan dengan keadaan yang tak mungkin dapat dilupakan sepanjang hidup mereka.
Sedih dan pilu, itu lah yang dapat digambarkan keadaan tiga keluarga di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kampung Banggol, Kota Bharu apabila kediaman mereka hangus dijilat api.
Difahamkan kesemua mangsa hanya sempat menyelamatkan diri dengan berlari keluar sehelai sepinggang berikutan keadaan api yang marak dan merebak dengan pantas sehingga melibatkan tiga buah rumah sekali gus.
Menurut salah seorang mangsa iaitu Che Zarina Che Salam, dia tiada di rumah sewaktu kejadian bagaikan tidak percaya dan kaku apabila menerima panggilan telefon dari anaknya yang menceritakan keadaan rumah mereka.
Ketika kejadian berlaku, Zarina dan suami keluar seketika untuk membeli juadah untuk berbuka puasa. Setelah mendapat perkhabaran mengenai kejadian rumah terbakar, mereka terus bergegas pulang ke rumah.
Setelah sampai, tidak ada satu pun perkakas atau peralatan rumah yang dapat diselamatkan. Semuanya dijilat api tetapi mereka tetap bersyukur kerana kelima anak mereka berusia 11 hingga 18 tahun selamat dari kejadian tersebut.
Dengan kejadian ini, sudah pasti perasaan gembira untuk menyambut raya punah bersama keadaan rumahnya. Zarina menyifatkan kejadian ini adalah paling berat untuk mereka sekeluarga perlu lalui.
Selain keluarga Zarina, seorang mangsa lain iaitu Norhisham Mohd Noor turut melalui detik sama apabila hanya sempat menyelamatkan diri semata-mata. Dia yang bekerja sebagai pemotong rumput turut kehilangan harta benda.
Malah mesin rumputnya juga hangus ditelan api marak. Sehingga kini punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa. Kesemua rumah yang terlibat musnah 95 peratus namun tiada kemlangan jiwa yang dilaporkan.
Natijahnya, ujian Tuhan terhadap hambanya datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin ujian ini membawa seribu hikmah lain kepada keluarga mangsa kelak. Semoga mereka terus tabah dan kuat dalam meniti hari mendatang.