Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Sebelum ni kita berdepan dengan tempoh sukar apabila dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan. Pandemik bukan sahaja memberi ancaman kepada kesihatan manusia bahkan menjejaskan pendapatan kita.
Ini berikutan sektor ekonomi banyak yang terpaksa dihentikan operasi. Kesannya ramai hanya diberi cuti tanpa gaji, dan lebih memilukan diberhentikan kerja tanpa notis.
Kejadian ini membuatkan ramai antara kita mula hidup merempat. Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Iera Misakiey ada berkongsikan kisah yang terpaksa dilalui oleh seorang pengayuh beca tua yang dikenali sebagai Pak Cik Daud.
Pak Cik Daud dijumpai berhampiran Hospital Raja Perempuan Zainab II ketika Iera ingin mendapatkan rawatan untuk anaknya yang demam. Jelas Pak Cik Daud, dia tidak mempunyai rumah dan beca lah tempat dia berteduh selama ini.
Menurut Iera, warga emas berkenaan tidak mempunyai anak dan juga isteri kerana tidak pernah berkahwin sebelum ini. Sebelum pelaksanaan PKP, biasanya dia tidur di merata tempat dan jadikan bangunan KWSP sebagai tempat kegemarannya.
Sudah pasti pendapatannya terjejas berikutan tiada pelanggan yang menggunakan khidmat beca sepanjang tempoh pandemik ini. Dengan keadaan sebegitu, dia memaklumkan mendapat bantuan dari kerajaan untuk menampung hidupnya.
Di akhir perkongsian Iera, dia ada meletakkan nombor telefon Pak Cik Daud sebagai rujukan ramai sekiranya ada pihak yang berhajat untuk membantu warga emas berkenaan.
Melihat kepada reaksi warganet, ramai yang meluahkan rasa sayu dan simpati dengan nasib yang dilalui oleh Pak Cik Daud. Dengan keadaan yang sudah berumur, masih bekerja untuk meraih pendapatan tanpa mengemis.
Mereka juga mendoakan agar urusan Pak Cik Daud dipermudahkan dan dimurahkan rezeki dalam meniti hari-harinya.
Secara keseluruhannya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup dalam tempoh sukar. Ada yang masih berjuang dengan ekonomi masing-masing untuk kelansungan hidup.
Semoga pihak berwajib dapat menjalankan tanggungjawab dalam membantu Pak Cik Daud dan juga golongan yang tidak bernasib baik ini.