Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Perkahwinan merupakan penyatuan hati antara dua insan. Ianya momen yang paling dinanti-nantikan oleh semua orang. Perkahwinan juga adalah percaturan hidup antara bahagia atau sebaliknya.
Ramai beranggapan mendirikan rumah tangga adalah perkara remeh walhal ianya adalah suatu tanggungjawab yang besar. Tersalah pilih pasangan boleh jadi huru hara hubungan kelak. Jadi tidak hairan statistik pencraian di negara kita memaparkan kegagalan rumah tangga di usia yang muda.
PILIH WANITA ITALI SEBAGAI ISTERI
Jodoh perkahwinan itu luas. Begitu juga dengan kisah yang ingin penulis kongsikan ini. Seorang kakitangan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohamad Khalies Hami Hamzah menemui jodoh dengan seorang wanita cantik warganegara Itali, Giovanna Khadija.
Difahamkan Giovanna merupakan pelajar jurusan Sarjana di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) di UMT. Dia telah memeluk agama Islam sejak Jun tahun lepas lagi selepas mendapat hidayah hanya dengan mendengar alunan bacaan al-Quran yang dipasang masjid UMT.
4 BULAN KENAL MELALUI INSTAGRAM
Menurut Khalies, mereka berdua mengambil masa lebih kurang 4 bulan untuk mengenali hati budi masing-masing. Pada awalnya mereka hanya berkenalan menerusi laman Instagram sahaja. Setelah berasa yakin, akhirnya Khalies mengambil keputusan untuk melamar Giovanna.
Khalies akui yang dirinya tidak menyangka bahawa Giovanna akan menerima lamaran tersebut. Tambahnya, memilih tarikh 14 Februari sebagai tarikh perkahwinan berikutan sempena tarikh hari pertama isterinya menjejakkan kaki ke Malaysia tahun lepas.
Sudah pasti dengan perkahwinan ini suatu tanggungjawab baru yang perlu Khalies pikul. Tambahan pula isterinya adalah saudara baru kita yang perlu diberi lebih perhatian dan juga bimbingan agama yang sempurna.
GIOVANNA DAH HAFAL 10 SURAH LAZIM DAN AL-MULK
Jelas Khalies, isterinya Giovanna sehingga hari ini sudah pun menghafal lebih dari 10 surah lazim selain sedang giat menghafal surah al-Mulk pula. Suatu perkara yang boleh dibanggakan kerana Giovanna menunjukkan semangat untuk mengenal Islam secara mendalam.
Bila disapa isterinya pula, Giovanna pada mulanya dalam dua untuk menerima lamaran Khalies memandangkan usianya baru mencecah 25 tahun dan sedang merancang untuk melanjutkan pengajian ke bidang Doktor Falsafah (PhD).
Tetapi dengan semangat yang ditunjukkan Khalies telah menyentuh hati Giovanna. Tambahnya lagi, suaminya seorang yang kuat pegangan pada agama sekali gus mampu membimbingnya ke jalan yang baik kelak.
TURUT DIRAIKAN KEDUA BELAH KELUARGA
Perkahwinan antara Khalies yang berasal dari Kampung Kubang Tangga dan wanita Itali ini secara tidak langsung mendapat liputan meluas. Perkahwinan mereka turut dihadiri ahli keluarga kedua belah pihak.
Dan ibu bapa Giovanna turut terbang dari Itali bagi meraikan perkahwinan anaknya itu. Semoga ikatan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat. Tahniah penulis ucapkan.
Kredit: Harian Metro