Physical Address

304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124

Lain dari yang lain! Tabah si kecil pimpin ibu bapa yang cacat penglihatan tarik perhatian Mufti

Beberapa hari lalu, heboh di media sosial kisah seorang anak kecil yang memimpin tangan kedua ibu dan bapanya untuk meronda dalam kawasan sekolah. Lebih menarik perhatian adalah apabila mengetahui kedua-dua ibu bapanya itu merupakan orang kelainan upaya (OKU), cacat penglihatan.

Hebat sungguh adik kecil bernama Nur Khairunnisa’ Fadhilah kerana menghargai dan menghormati ibu bapanya. Biarpun ayah dan ibu tidak dapat melihat, tetapi masih juga ingin berkongsikan rasa bahagia ketika berada dalam sesi persekolahan.

Sumber Facebook

KISAH ADIK KHAIRUNNISA TARIK PERHATIAN MUFTI WILAYAH

Sejurus dengan kejadian tersebut, ia telah menarik perhatian dari Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk berjumpa dengan pelajar cilik berkenaan. Hal ini dikongsikan sendiri oleh Mufti Wilayah menerusi posting di Facebook beberapa jam yang lepas.

“Tersentuh hati kecil ini bila pertama kali bersua mata dengan anakanda Khairunnisa. Ditakdirkan untuk beribubapakan pasangan OKU cacat penglihatan, itulah hikmah daripada-Nya untuk membentuk jiwa yang besar pada anak kecil ini.”

Sumber Facebook

KAGUM DENGAN KEMATANGAN SI CILIK

“Usianya langsung tidak menggambarkan kematangannya yang amat mengagumkan kami. Ibu bapanya En. Haizir dan Puan Nur Suhaida pastinya berbangga memiliki anak sehebat ini. Benarlah kata seorang ibu, “Nur Khairunnisa adalah mata dan tongkat kami.”

“Kepada pihak sekolah khususnya Guru Besar SK (P) Jalan Batu iaitu Puan Ranjini dan guru-guru Khairunnisa, kami ucapkan tahniah kerana terpilih untuk memikul amanah mendidik beliau. Kami yakin dengan usaha yang jitu daripada pihak sekolah dan PIBG, beliau akan menjadi sehebat namanya “Khairunnisa (Sebaik-baik perempuan)”.”

Sumber Facebook

SEMOGA BERJAYA DAN MEMBANGGAKAN ORANG TUA KELAK

“Terima kasih juga kepada Ustaz Jaafarudin bin Md Ali, Ketua Pegawai CSR, Menteri Besar Selangor Incorporated atas kesudian untuk turut hadir memberi sumbangan.”

“Kami doakan anakanda Khairunnisa menjadi anak yang solehah, berjaya dalam hidup dan membanggakan kedua ibu bapa. Doa yang sama jua untuk anak-anak kita.”

“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah untuk kami daripada pasangan-pasangan kami dan zuriat-zuriat kami penyejuk mata-mata kamu dan jadikanlah kami pemimpin ikutan orang-orang bertaqwa.”

Sumber Facebook

“Bila Khairunnisa dah berjaya nanti, jangan lupa bawa mak ayah jumpa pakcik ya!” Kongsi Mufti Wilayah di ruangan Facebook.

Kesimpulannya, tak semua insan akan memiliki jalan cerita yang baik. Tetapi tidak bermaksud kekurangan itu langsung tidak memberi kebaikan. Semoga kisah adik Khairunnisa ini membuka mata kita dalam menghargai nikmat dan kenal erti syukur.

Sumber: Facebook Mufti Wilayah Persekutuan

Kongsi artikel ini: