Physical Address

304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124

Tak perlu rasa takut! Ikuti kisah nenek Cina ini, jaga cucu Islamnya 23 tahun tanpa abaikan tanggungjawab

Mungkin kisah ini kedengaran agak pelik bagi sesetengah orang namun tidak bagi Tan Guan Neo atau lebih selesa disapa Nyonya Popo apabila membuktikan perbezaan pandangan agama bukan penghalang untuk membesarkan darah dagingnya sendiri dengan baik.

NENEK BUDDHA, CUCU ISLAM

Nyonya Popo Beragama Buddha telah menjaga cucu perempuannya yang beragama Islam sejak 23 tahun yang lepas lagi. Bagi nenek yang berusia 75 tahun ini, tidak ada perkara yang perlu dirisaukan dengan pandangan agama yang berbeza. Yang penting saling menghormati.

Tambahnya lagi dia menggalas tanggungjawab membesarkan cucunya, Fahira Nabilah Isham sejak dia berumur empat bulan lagi. Sejak dari itu Nyonya Popo tidak pernah langsung mengabaikan pengajian agama buat Fahira.

NYONYA POPO TIDAK ABAIKAN PENGAJIAN AGAMA BUAT CUCUNYA

Malah dia sendiri yang akan hantar cucu kesayangannya itu untuk ke kelas agama dan juga mengaji al-Quran. Tidak terhenti di situ, dia turut memastikan rumah dibasuh dengan air tanah dan juga tidak memelihara anjing bagi menghormati Fahira.

Jelas Nyonya Popo ini lagi, ada je pihak yang cuba mengganggu kehidupan mereka namun dia jadikan kisah Nabi Muhammad S.A.W yang dijaga Abu Talib sebagai contoh yang baik dalam mengharungi kehidupan berbeza agama.

JANGAN CEPAT TERPEDAYA DENGAN FAHAMAN NEGATIF

Dalam pada itu, Nyonya Popo berkata dewasa kini pelbagai provokasi dicetuskan bagi memecah belahkan antara kaum. Telefon pintar adalah medium utama penyampaian negatif ini. Jadi dia menasihati anak muda agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan agenda sedemikian.

Kita sudah lama hidup merdeka dan sejak dari itu kita mampu hidup tenang aman damai kerana masing-masing saling menghargai antara satu sama lain. Jangan cuba merosakkan perkara baik yang dah lama kita capai ini.

Difahamkan cucunya Fahira ini baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan pasangan, Muhammad Asyraf Abd Rahman pada Januari lepas.

Justeru, jadikan kisah Nyonya Popo dan cucunya Fahira ini sebagai contoh buat kita yang hidup dalam negara pelbagai kaum. Ianya bagi memupuk semangat cintakan negara dan mencapai perpaduan dalam bermasyarakat.

Kredit: Sinar Harian

Kongsi artikel ini: